Wednesday, August 24, 2011

Hatiku Tersentuh

Tanggal 15 Ogos 2011, kami di kulimgroup89 telah menerima sebuah e-mel daripada sahabat Sharida. Dengan tajuk "Hatiku Tersentuh", sudah tentu cepat-cepat kita buka, baca dan cuba menghadam lontaran rasa sahabat kita.

Ida menceritakan pengalamannya berbuka puasa bersama anak-anak yatim anjuran alumni sekolah suaminya. Beliau menyatakan perasaan terharu beliau, yang semestinya tidak dapat dilupakan. Pengalaman ini amat bermakna buat beliau. Sudah tentu lebih-lebih bermakna lagi sekiranya kita di kulimgroup89 turut sama melapangkan dada dan mengunjurkan tangan turut serta menjalankan aktiviti yang seumpama. Inilah luahan rasa Ida.

Tentulah tahun ini merupakan tahun yang akan kita kenang seumur hidup kita. Jun 1, guru kesayangan kita, Mr Teh telah pergi meninggalkan kita. Jun 4, Dino, sahabat yang disayangi turut sama kembali ke pangkuan Ilahi. Pemergian kedua mereka amat terkesan di hati kita. Cikgu Teh yang sentiasa ke depan dalam membantu, sentiasa menganjur kita membuat kebajikan. Kata-katanya mendidik jiwa. Dino yang disayangi, berjiwa kental. Semangat juang Dino seperti obor yang merah menyala. Betapa Allah telah mengujinya dengan pelbagai dugaan dan tetap dia bertahan. InsyaAllah Dino, pasti nyalaan obor mu itu terus menerangi kehidupan anakandamu.

Semoga ruh keduanya di tempatkan di kalangan orang-orang yang saleh.. Amin.

Ya, tahun ini genaplah 22 tahun kita meninggalkan alam persekolah kita di MRSM Kulim. 22 tahun yang sudah tentu cukup untuk mematangkan kita. 22 tahun ini, setiap daripada kita telah melalui lorong hidup masing-masing dengan cerita yang pelbagai. Justeru, kami menyahut panggilan bakti ini. Saat dimana kita boleh berkongsi semula titik pertemuan kita dengan sama-sama menganjurkan satu program bakti untuk masyarakat.

Kami telah memilih Rumah Anak Yatim Ummu Salamah di Gerik,Perak sebagai Episod 1 dalam bakti masyarakat di bawah payung kulimgroup89. Semoga titik permulaan ini akan dicorakkan dengan pelbagai warna bagi menambah keserian makna hidup.
posted by Mag



Seperti kata Cikgu Umi...Inilah harapan dan doa Arwah Cikgu Teh selama ini